Gambar hiasan

MELAKA – Perang mulut mengenai Jalur Gemilang antara pemimpin dan pengikut parti politik tidak sepatutnya berlarutan sehingga memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, adalah sesuatu yang dikesali ianya berlaku disaat negara sudah pun mencapai kemerdekaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

“Bendera Malaysia sepatutnya menyatukan kita. Tidak wajar ia digunakan untuk tingkatkan kebencian dan permusuhan.

“Kita rakyat Merdeka,” katanya menerusi status yang dimuatnaik di akauan Facebook (FB) rasminya hari ini merujuk kepada ‘perang mulut’ mengenai isu bendera Malaysia sejak beberapa hari lalu.

Statusnya itu kemudian mendapat pelbagai reaksi warga net yang turut berharap kedua-dua pihak dapat segera menoktahkan perbalahan itu dalam suasana negara kini berada di bulan ulan tahun sambutan hari kemerdekaan ke-68.

Rata-rata mereka berharap semua pihak menghayati tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang tercetus selepas tular tindakan segelintir individu mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik termasuk di premis perniagaan dan kediaman.

Tidak berakhir disitu, ia terus menjadi pertikaman lidah antara beberapa pemimpin parti politik khususnya UMNO dan DAP serta penyokong kedua-dua parti itu yang merupakan sekutu dalam Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast