JASIN – Saiz fizikalnya yang kerdil iaitu 126 sentimeter (cm) bukanlah penghalang kepada pelajar baharu Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Nursyahirah Najihah Muhamad Rabani, 19, mempamerkan semangat cintakan negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Menghidap dwarfisme, anak kelahiran Subang, Selangor yang mesra disapa Syahirah itu mengakui Hari Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira faktor kekurangan fizikal mahupun berstatus orang kurang upaya (OKU).
“Setiap orang mempunyai perspektif kemerdekaan tersendiri sama ada mempamerkan bendera Jalur Gemilang di atas kereta, tiang rumah malah di mana sahaja bagi memupuk rasa cinta kepada negara.
“Terpulang kepada persepsi masing-masing, asalkan semangatnya sampai termasuklah saya walaupun kerdil tapi jiwa merdeka itu setinggi langit,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan Jalur Gemilang di KKJS, di sini.
Pelajar jurusan Sijil Teknologi Logistik (SLK) itu berkata, sebelum ini beliau sering meraikan Hari Kebangsaan bersama keluarga di Dataran Shah Alam menyaksikan perarakan dan teriakan ‘merdeka’ yang membangkitkan rasa patriotik dalam diri.
Sementara itu, Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, semangat kenegaraan ditonjolkan Syahirah itu membuktikan adalah tidak tepat melabel golongan muda sebagai generasi yang tidak berjiwa patriotik.
“Generasi Z atau lebih dikenali sebagai Gen Z ini sebenarnya bukan tidak patriotik tetapi mereka mempunyai definisi kemerdekaan mengikut citarasa sendiri sesuai dengan peredaran zaman.
“Banyak cara kreatif dilakukan seperti menghasilkan video pendek di Tiktok, melukis mural, mencipta aplikasi permainan berbentuk kuiz kemerdekaan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, walaupun pendekatan itu kelihatan moden, ia tetap menggambarkan semangat patriotik dan sesuai dengan perkembangan era digital serta media sosial masa kini. — MalaysiaGazette
















