Rayme Zainal (kiri) dan Pinn Yang merupakan penganjur bersama Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, dua selebriti akan menganjurkan festival makanan dan gaya hidup terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025 yang menyediakan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.

Festival anjuran penyanyi, Rayme Zainal dan pempengaruh, Pinn Yang itu akan berlangsung dengan pelbagai aktiviti dan jualan bermula 12 September ini selama lima hari di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rayme yang juga Pengarah Urusan, Raydiates, Rayme Zainal berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan vendor makanan, minuman, fesyen, kraf dan produk gaya hidup untuk menyertai festival itu.

Menurut beliau, lot niaga adalah terhad mengikut kategori dan akan dibuka untuk jualan kepada peserta atau usahawan yang mendaftar awal.

“Anjung Malaysiaku X Foodie Fiesta 2025 bukan sekadar festival makanan, ia adalah platform untuk mengangkat usahawan tempatan, mempromosikan budaya Malaysia, dan merapatkan jurang antara komuniti perniagaan dan masyarakat bersempenan sambutan Hari Malaysia dengan sokongan dari Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC).

“Kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) bersempena Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 memberikan nilai tambah kepada penganjuran itu kerana ia menghubungkan terus peserta dengan peluang perniagaan, jaringan usahawan dan akses pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Raydiates Blue Sdn. Bhd. dilantik Rakan Strategik sempena Hari Usahawan Negara anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia.

Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta dianjurkan Raydiates dan KL Foodie milik Pinn Yang dengan kerjasama DPUM bagi menyokong HUN yang merupakan platform mega menghimpunkan ribuan usahawan, inovator, dan pemain industri dari pelbagai latar belakang, bidang dan skala perniagaan.

Dengan tema Usahawan Nadi Negara, HUN 2025 bukan sahaja medan perniagaan malah menjadi pengalaman lengkap yang mempamerkan keindahan dan kepelbagaian Malaysia kepada dunia menerusi pelbagai aktiviti.

Antaranya pameran perniagaan tempatan dan antarabangsa, forum dan perkongsian bersama ikon industri, pertandingan inovasi dan pitching pelaburan serta jaringan perniagaan.

Mengulas lanjut, Rayme menambah, bagi mencipta kelainan, penganjur akan mengadakan sesi Live Podcast bersama figura terkenal tanahair, aktivititi demo masakan dan penglibatan pempengaruh antara tarikan utama bagi menarik pengunjung memandangkan tarikh festival merupakan cuti panjang hujung minggu selama empat hari.

Menurut beliau, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan 15 September ini sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.

“Namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain terdapat kemudahan stesen LRT untuk ke sana, terdapat banyak tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung,” katanya yang memaklumkan maklumat pakej lot niaga dan pendaftaran boleh didapati melalui saluran media sosial festival itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast