KUALA LUMPUR – Seorang remaja wanita yang ditemui tergantung pada kipas di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1, di sini, pada Khamis lalu disahkan mati akibat dibunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi, Hospital Serdang mengesahkan punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling ‘hyoid bone’ (tulang leher).
Menurut beliau, pakar ptologi juga mendapati kecederaan yang terjadi pada otot dan tulang mangsa adalah secara ‘manual strangulation’.
“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan motif kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan pada jam 11.55 pagi memaklumkan wanita berusia lingkungan 20-an ditemui tergantung pada kipas di rumahnya.
Wan Azlan berkata, pemanggil itu adalah bapa kepada mangsa yang menghubungi pihak polis selepas menemui anaknya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu di tingkat dua rumah terbabit.
Katanya, pembantu perubatan yang ke lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut di media sosial.
Tambah beliau, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil memberi kerjasama kepada pihak polis melalui talian 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zainol Aazizi Abu Bakar 013-3227632. – MalaysiaGazette
















