Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Abdul Aziz menggesa kerajaan untuk bertegas dalam menangani isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk daripada terus berulang di negara ini.

Katanya, kerajaan sepatutnya menilai semula dasar sedia ada agar nyawa rakyat tidak terus menjadi taruhan akibat kecuaian dan kelonggaran kawalan arak di negara ini.

“Negara-negara maju menganggap alkohol sebagai produk yang perlu dikawal rapi walaupun sah dari segi undang-undang.

“Mereka menyeimbangkan kebebasan individu dengan tanggungjawab sosial melalui sistem lesen, had umur, cukai tinggi, kawalan masa jualan dan tanggungjawab undang-undang penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tun Faisal merujuk kepada laporan media berhubung seorang wanita yang sebelum ini parah akibat dirempuh pikap dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol, meninggal dunia pagi tadi selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.

Difahamkan mangsa Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi semalam, selepas mengalami ‘brain death’ sekali gus menamatkan penantian penuh doa ahli keluarga dan rakan-rakannya susulan insiden pada 10 Ogos lalu.

Tun Faisal menyarankan Malaysia mencontohi pendekatan tegas seperti dilaksanakan di United Kingdom (UK), Finland, Sweden, Australia dan New Zealand.

Di UK, beliau menjelaskan, penjualan alkohol dihadkan mengikut lesen khas dengan masa operasi tertentu selain larangan keras menjual kepada individu yang sudah mabuk.

Premis yang melanggar boleh didenda sehingga £1,000 atau lesen mereka ditarik balik manakala di Finland dan Sweden, monopoli kerajaan terhadap penjualan alkohol diwujudkan, harga dikenakan cukai tinggi serta masa jualan amat terhad.

Kedua-dua negara itu juga melarang sama sekali penjualan alkohol kepada individu yang jelas berada dalam keadaan mabuk.

Di Australia pula menurut beliau, walaupun lebih sederhana, setiap negeri menguatkuasakan dasar Responsible Service of Alcohol (RSA) yang mewajibkan pengendali bar menolak pelanggan mabuk.

Jika gagal, perniagaan boleh didenda ribuan dolar dan lesen ditarik balik.

New Zealand juga melaksanakan peraturan serupa dengan kawalan ketat terhadap masa jualan serta tanggungjawab penjual.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast