Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mengiktiraf peranan serta sumbangan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim, dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu pada 23 Ogos ini akan menjadi platform utama yang menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi.

“Sehubungan itu, saya menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Anwar, bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang program, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk memberikan bantuan dan kawalan sewajarnya.

Tambah beliau, pada masa sama, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 kepada para peserta sebagai tanda komitmen dalam menjayakan program berkenaan, manakala perbincangan lanjut mengenai keperluan seterusnya
akan diadakan bersama pihak penganjur pada minggu hadapan.

“Selaras dengan tekad Kerajaan Madani untuk memastikan kesejahteraan rakyat, aspek keselamatan akan sentiasa menjadi keutamaan.

“Justeru, saya menyeru semua peserta dan penganjur agar mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab, serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi menjamin kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung,” ujarnya.

Dalam semangat Bulan Kemerdekaan, Anwar turut mengajak seluruh peserta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta kecintaan kepada tanah air.

Katanya, program itu bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif, tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Tambah beliau, Kerajaan Madani juga akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama, memperkukuh perpaduan, serta membina budaya permotoran
yang positif, selamat, dan berdaya maju demi kemakmuran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast