Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan perkhidmatan mahkamah bergerak ke Semenanjung Malaysia menerusi inisiatif ‘Keadilan Bergerak’ bagi memastikan akses kepada sistem keadilan dapat dinikmati rakyat di kawasan luar bandar.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dan kini sedang diperluas ke negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita mahu memperkukuh bantuan guaman dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, kebanyakan mahkamah pada masa ini tertumpu di kawasan bandar dan pekan besar di daerah, sekali gus menyukarkan penduduk luar bandar untuk mendapatkan bantuan guaman yang sewajarnya.

“Harapan kita adalah untuk mempunyai satu unit bergerak bagi setiap negeri, khususnya di kawasan luar bandar. Akses guaman bergerak bukan sahaja dapat menyelesaikan kes-kes kecil, tetapi juga membantu dalam pendaftaran dokumen,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut turut menerima sokongan daripada Ketua Hakim Negara yang baharu dilantik, Tan Sri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembela Awam akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada minggu hadapan.

RUU itu, yang sebelum ini diumumkan dalam Bajet 2023 yang disemak semula, bakal menyediakan bantuan guaman secara percuma dalam kes jenayah melibatkan golongan kurang berkemampuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast