CYBERJAYA – Seramai 20 pelajar baharu telah memulakan pengajian mereka dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kecerdasaan Buatan Gunaan – Applied AI) sebagai
perintis di Universiti Multimedia (MMU) milik Telekom Malaysia (TM).
Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih berkata, pihaknya menyasarkan tambahan 50 orang pelajar lagi menjelang akhir tahun ini yang mana golongan itu bakal menjadi peneraju gerakan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Justeru katanya, Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) MMU yang ditubuhkan adalah hasil keyakinan bahawa AI bukan sekadar peranti pintar, kuasa unit memproses grafik (GPU) dan sekadar baris-baris kod.
“Yang lebih utama adalah bagaimana mempersiapkan anak-anak kita dalam menggunakan kekuatan AI demi memberi manfaat sebenar kepada kehidupan, kepada masyarakat dan kepada negara.
“Apa yang membezakan fakulti ini ialah penekanan kepada aplikasi AI atau ‘applied AI’. Di sini, pelajar bukan sahaja belajar tentang teknologi dan prinsip AI, tetapi cara ia benar-benar membawa limpahan kebaikan kepada kehidupan seharian.
“Sama ada dalam analitik ramalan, diagnostik perubatan, pertanian pintar atau automasi khidmat pelanggan, FAIE fokus kepada penyelesaian dunia sebenar sejak hari pertama
pengajian mereka di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengadakan program sesi Temu Anwar@Multimedia University.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, usaha TM mendapat sokongan padu pihak-pihak yang berkongsi matlamat yang sama dan merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ini kerana kata beliau, sokongan agensi kerajaan itu dengan penubuhan sebuah pusat innovasi AI termasuk 13 makmal baharu.
“Terima kasih juga kepada kesemua rakan industri dan rakan teknologi atas sumbangan bagi memastikan fakulti ini kekal dinamik dan relevan dengan keperluan sebenar pasaran di luar sana,” katanya. – MalaysiaGazette
















