KULAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah lori yang membelok ke kanan di Kilometer 41 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, hari ini.
Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mererima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pukul 10.11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tang Seng Lee berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego Avantis dan lori jenis Isuzu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 32 tahun sedang bergerak lurus ke Ayer Hitam.
“Motosikal tersebut kemudian melanggar belakang lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang mahu membelok ke simpang sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori berkenaan pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Uslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke IPD Kulai,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















