KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan suspek kes pembunuhan seorang pelajar wanita yang ditemukan tergantung pada kipas siling di ruang tamu rumahnya di USJ 2/1, Subang Jaya, Selangor pada Khamis lalu adalah individu dikenali mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati setakat ini seramai 12 individu sudah diambil keterangan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan mangsa disahkan mati dibunuh selepas bedah siasat dilakukan oleh pakar patologi Hospital Serdang.
Wan Azlan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah pendarahan di sekeliling tulang hyoid (tulang leher).
“Pakar patologi juga mendapati kecederaan pada otot dan tulang mangsa berpunca daripada perbuatan cekik secara manual (manual strangulation),” jelasnya.
Susulan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















