KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bakal mewujudkan sebuah gabungan baharu untuk menghimpunkan semua pemimpin utama parti pembangkang yang tidak bersama dengan kerajaan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun gabungan itu belum mempunyai nama ketika ini, namun pihaknya sudah memulakan mesyuarat bagi membincangkan pelbagai perkara merentasi isu dan kepentingan rakyat.
“Nama baru akan diputuskan dalam pertemuan kita di mesyuarat akan datang, satu perkara yang menjadi perhatian dan tumpuan kita ialah kita ada 12 parti di sini di luar daripada kerajaan.
“Apa sahaja yang kita fikir ada kepentingan bersama, menyentuh baik soal politik, ekonomi, sosial, pendidikan, apa-apa hal perkara itu kita boleh menggunakan forum dan platform ini untuk bincang dan ambil keputusan bersama-sama,” katanya pada sidang media di The MET Corporate Tower, di sini, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat bersama 12 ketua parti pembangkang termasuk parti komponen PN.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali; Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz; Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy; Pengerusi Urimai, Datuk Seri Prof Dr Ramasamy Palanisamy; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim dan Timbalan Presiden Iman, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim.
Muhyiddin juga berkata, gabungan parti pembangkang yang tidak berdaftar dengan PN itu menunjukkan mereka mempunyai pendirian sama dalam pelbagai isu dan kebimbangan rakyat.
“Isu kos sara hidup adalah satu isu paling besar yang membebani rakyat kita terutama selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara dan menguruskan negara kita.
“Kita telah bincang panjang lebar tentang isu semasa yang paling utama yang dihadapi rakyat Malaysia iaitu isu kos hidup.
“Jadi bukan kita satu parti sahaja. Jadi bila lihat semua parti yang ada di sini, impak daripada keputusan itu adalah jauh lebih besar.
“Jadi saya harap ini akan diberikan perhatian oleh masyarakat kita,” katanya.

Selain itu, kata Muhyiddin, gabungan itu sebulat suara bersetuju bahawa bebanan yang sedang ditanggung rakyat kerana pelbagai dasar yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan membawa kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.
“Walaupun kadar inflasi katanya rendah, tapi banyak tempat kos dan harga barang-barang sudah pun naik lebih daripada dahulu.
“Kenaikan itu antara lain kerana penghapusan ataupun pensasaran semula subsidi minyak yang menyebabkan kos logistik pengangkutan telah meningkat dan bertambah membawa kesan kepada kenaikan harga barang-barang.
“Selain itu, cukai yang dikenakan oleh pihak kerajaan termasuklah SST yang baru-baru ini sejak 1 Julai diperluaskan kepada senarai yang keseluruhannya hampir 6,000 jenis barangan,” katanya.
Katanya, mereka juga sebulat suara bersetuju bahawa Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentang dan dibahaskan di Parlimen tidak boleh menyelesaikan banyak isu utama yang sedang dihadapi rakyat.
“Selepas ini nanti kita akan bincang banyak perkara lain termasuk isu yang dihadapi oleh kelompok-kelompok, kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat kita.
“Sebagai contoh, kita akan susul di peringkat tindakan seterusnya bertemu dengan peniaga-peniaga, pengusaha-pengusaha, persatuan-persatuan perniagaan dan juga kumpulan-kumpulan tertentu untuk kita mendekati masalah yang mereka hadapi.
“Kita mungkin akan mencadangkan beberapa tindakan tertentu kepada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















