MELAKA – Polis mengesahkan dua pelajar perempuan senior disyaki terlibat dalam kes buli mengenakan denda terhadap lebih 20 pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Sungai Udang di sini pada pukul 3 pagi Sabtu lalu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.
“Ya, kita ada terima laporan polis bagi kes ini dan dua pelajar senior yang disyaki terlibat disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Seksyen bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera ini memperuntukkan hukuman boleh dipenjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan eksklusif MalaysiaGazettte semalam mengenai kes buli terhadap lebih 20 pelajar perempuan berkenaan sehingga ada yang mengalami bengkak dan melecet pada kaki.
Menurut sumber, kejadian didakwa berpunca apabila kesemua pelajar terbabit lewat pulang ke asrama minggu lalu.
Ia menyebabkan pelajar senior berkenaan membuat pengumuman di surau sebelum waktu Maghrib Jumaat lalu untuk berjumpa mereka pada pukul 3 pagi keesokan harinya.
Sumber berkata, pengadu berusia 15 tahun mendakwa, seramai lebih 20 pelajar kemudian berkumpul di koridor tingkat tiga asrama perempuan sebelum ketua asrama puteri memanggilnya bersama seorang lagi pelajar dan mengarahkan mereka berjalan itik selama 30 minit.
“Selain itu dakwa mangsa, ada beberapa lagi pelajar disuruh melakukan ketuk ketampi dan mereka yang datang lewat akan ditambah hukuman.
“Akibatnya, dua pelajar berkenaan mengalami bengkak dan melecet di kaki malah seorang daripadanya memaklumkan dia kerap dibuli ketua pelajar terbabit,” katanya.
Sumber menambah, mangsa sebelum ini tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana takut akan menjadi sasaran buli seniornya itu di asrama.
Mangsa bagaimanapun telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada jam 1 pagi 17 Ogos lalu selepas bimbang tentang keselamatan dirinya. – MalaysiaGazette
















