KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang mendakwa DAPSY nampaknya masih tidak matang berpolitik apabila cuba menyeleweng isu mempertahankan Jalur Gemilang dengan tuduhan liar terhadap Dr. Akmal Saleh.
Ketuanya, Muhammad Kamil Ibrahim berkata, isu bendera bukan soal politik kepartian sebaliknya adalah soal maruah negara dan tanah air.
“Kalau sudah tua bangka tetapi masih tidak tahu cara menghormati bendera negara, itu bukan lagi alasan itu satu bentuk penipuan dan pengkhianatan kepada tanah tumpah darah kita.
“Kita menghormati undang-undang malah Dr Akmal Saleh sendiri telah dipanggil memberi keterangan. Tetapi kita menuntut agar DAP menghormati Rukun Negara dan jangan sesekali melindungi pesalah.
“Orang Melayu jangan lupa yang akan mempertahankan tanah air ini bila tiba saatnya hanyalah orang Melayu itu sendiri. Kita tidak akan berganjak walau seinci dan tidak akan lari ke negara lain jika sesuatu berlaku terhadap tanah tumpah darah kita,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Muhammad Kamil, sejarah telah mengajar bahawa kemerdekaan dan kedaulatan ini ditebus dengan darah dan air mata selain menjadi petunjuk dan pengajaran kepada kita, sebagaimana Nabi Muhammad SAW mendidik umat melalui sirah perjuangan baginda.
“Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh Akmal Saleh bukanlah tindakan samseng tetapi satu bentuk pendidikan awam untuk mengingatkan rakyat bahawa bendera Malaysia bukan sekadar kain, ia adalah simbol kedaulatan negara yang wajib dihormati oleh setiap warganegara tanpa mengira kaum, agama atau parti.
“DAPSY jelas keliru antara politik perkauman dengan politik keharmonian. Bila ada pemimpin berani menegakkan maruah bendera, itu bukan agenda kaum atau PN tetapi agenda kebangsaan.
“Kalau mempertahankan simbol negara pun dianggap salah, itu menunjukkan betapa ceteknya kefahaman mereka tentang patriotisme dan nation-building. Dari sudut teori politik moden, simbol negara seperti bendera, lagu kebangsaan dan jata negara dikategorikan sebagai National Identity Markers. Ia membina rasa kebersamaan (sense of belonging) rakyat kepada tanah air.
“Jika simbol ini diperkecilkan atau dihina, runtuhlah asas kesetiaan rakyat,” katanya.
Muhammad Kamil berpendapat, Dr Akmal dan Pemuda UMNO mempertahankannya adalah sebahagian daripada proses nation-building yang sepatutnya disokong semua pihak termasuk DAPSY.
Namun tindakan mereka mengheret isu ke gelanggang politik hanya mengundang kebencian rakyat kerana menampakkan mereka lebih rela menyerang peribadi daripada mempertahankan simbol negara.
“Ingatlah, Jalur Gemilang bukan milik UMNO, PN atau PH. Ia milik semua rakyat Malaysia. Jika DAPSY benar-benar mendukung Malaysia Madani, sepatutnya mereka berdiri sebaris dengan Akmal dalam mempertahankan bendera bukan menyalakan api kemarahan rakyat dengan kecaman dangkal.
“Marah anak jangan dibakar kelambu, terbakar rumah nanti. Beginilah perangai DAPSY yang gelojoh sanggup mencetus kemarahan rakyat demi nafsu politik sempit mereka. Mereka tidak pernah peduli pada maruah negara, yang mereka tahu hanyalah mencari publisiti murahan dengan membiarkan maruah negara ini dicela,” katanya. – MalaysiaGazette















