Dr Zaliha mempengerusikan mesyuarat PKR Johor yang pertama dengan barisan kepimpinan baharunya di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kepimpinan baharu di peringkat negeri yang diumumkan baru-baru ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuh kedudukan parti di Johor.

Ketua Penerangan PKR Johor, Mohd Fakharuddin Moslim berkata, keyakinan itu adalah berasaskan kesepaduan organisasi dan semangat kerja berpasukan yang mantap.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Tenggara berkata, pasukan baharu ini akan terus mengangkat agenda reformasi dan kepentingan rakyat.

Menurutnya, barisan kepimpinan baharu PKR negeri itu sudah bermesyuarat pada 9 Ogos lalu yang dipengerusikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor yang baharu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

“Antara perkara utama yang dibincangkan adalah menyempurnakan struktur organisasi dengan membuat beberapa lantikan bagi memperkukuh kepimpinan dan keberkesanan pentadbiran parti.

“Tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan gerak kerja di peringkat cabang agar Keadilan Johor dapat terus mendekati rakyat dan menyantuni isu-isu tempatan secara proaktif.

“Mesyuarat ini juga menegaskan komitmen Keadialan Johor untuk mempererat kerjasama bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan demi memastikan kestabilan politik dan keberhasilan agenda pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, PKR Johor menyatakan kesediaan penuh untuk membantu calon mereka dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

“Ini termasuk melalui sokongan tenaga, pengalaman dan kepakaran yang ada,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast