KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan keputusan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung hujung tahun ini meskipun wujud kebimbangan terhadap peranannya dalam konflik Israel-Palestin.
Menurut beliau, kehadiran Trump akan memberi ruang kepada para pemimpin ASEAN menyuarakan secara terus kebimbangan mereka terhadap dasar luar Amerika Syarikat (AS) khususnya berhubung isu Gaza.
“Saya rasa lebih baik jika kita dapat bertemu secara bersemuka. Negara-negara ASEAN boleh nyatakan sendiri pendirian mereka sebagaimana yang telah kita lakukan kepada Setiausaha (AS), Marco Rubio, yang hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-58 (bulan lalu),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Rubio menegaskan bahawa kekejaman di Gaza mesti dihentikan serta-merta.
Menjawab soalan tambahan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang mempersoalkan sama ada Malaysia akan menyambut Trump dengan ‘karpet merah’ walaupun tangannya “berlumuran darah rakyat Palestin yang tidak berdosa”, Mohamad berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bertanggungjawab memastikan suara kolektif rantau itu disampaikan dengan tegas dan jelas.
Katanya lagi, ASEAN telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan kekesalan terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.
Untuk rekod, AS kekal sebagai sekutu rapat Israel dan Trump sebelum ini dilaporkan menyokong tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Menurut laporan The Times of Israel, Trump menyatakan dalam satu hantaran di laman Truth Social bahawa, tebusan yang ditahan di Gaza hanya akan dibebaskan apabila Hamas “ditentang dan dimusnahkan”.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia juga yakin bahawa AS terutamanya Trump sendiri mahu melihat kekejaman Israel dapat dihentikan justeru penegasan terhadap pendirian ASEAN akan dibuat ketika kehadirannya.
“Boleh jadi nanti kenyataan Pengerusia ASEAN iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembukaan sidang kemuncak itu nanti akan kita tekankan lagi betapa Amerika perlu menjalankan tanggungjawab sebagai negara besar untuk pastikan keadaan di Gaza diselesaikan segera,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan Kabinet rejim zionis yang baru-baru ini memutuskan untuk mengambilalih Gaza sepenuhnya.
Katanya, tindakan rejim itu merupakan perbuatan terancang untuk menjajah wilayah tersebut.
“Baru-baru ini juga, Malaysia telah mengutuk keras tindakan rejim Zionis Israel berkaitan agenda peluasan haram Greater Israel serta perancangan pembinaan penempatan di kawasan E1 di antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang diduduki.
“Inilah bukti tindakan-tindakan haram oleh rejim Zionis Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) malah turut menafikan kedaulatan Palestin serta menjadikan Penyelesaian Dua Negara mustahil untuk direalisasikan.
“Tragedi ini membuktikan dengan nyata kekejaman yang dilakukan adalah jenayah kemanusiaan yang melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa serta mencabuli prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuklah tindakan genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan merangkumi pemusnahan infrastruktur awam, pembersihan etnik dan juga pengusiran paksa,” katanya. – MalaysiaGazette
















