Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merekodkan lebih 138,632 kontraktor berdaftar di seluruh negara sekali gus menunjukkan Industri pembinaan negara terus berkembang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, statistik itu yang melibatkan kontraktor Gred G1 hingga Gred G7 membuktikan keutuhan sektor pembinaan sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Daripada jumlah tersebut, Johor mencatat sebanyak 12,508 kontraktor berdaftar, iaitu mewakili 9.02 peratus daripada keseluruhan jumlah nasional. Bagi tempoh 2022 hingga 2024 sahaja, Johor merekodkan 28,614 projek dengan nilai RM102.74 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor CIDB Malaysia 2025 yang berlangsung di Johor Bahru, hari ini.

Konvensyen tersebut menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh negara bagi membincangkan hala tuju, cabaran serta peluang baharu dalam industri pembinaan, sejajar dengan keperluan semasa ekonomi negara.

Katanya, pembangunan mega seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka menarik pelaburan sehingga RM100 bilion dalam tempoh lima tahun.

Inisiatif ini bakal mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.

Ahmad menjelaskan, majoriti kontraktor berdaftar terdiri daripada kategori gred kecil dan sederhana (G1 hingga G4).

Beliau menegaskan, kerajaan melalui CIDB komited memastikan kontraktor tempatan terus berdaya saing, bukan sahaja dalam pasaran domestik malah berupaya menembusi pasaran antarabangsa selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast