Tengku Zafrul ditemui selepas melancarkan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis MoUdi Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Malaysia masih menunggu keputusan rasmi berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilaporkan mahu mengenakan sehingga 300 peratus tarif ke atas import cip semikonduktor ke negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini belum ada sebarang makluman rasmi diterima dari Washington mengenai perkara berkenaan.

“Buat masa ini belum ada lagi apa-apa keputusan daripada Amerika Syarikat, jadi kita tunggulah. Kita kena tunggu kenyataan rasmi Presiden Trump sendiri,” katanya secara ringkas kepada media.

Tengku Zafrul sebelum itu melancarkan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Ling Ting Han.

Sebelum itu, pada 15 Ogos lalu, Trump mengumumkan kemungkinan pengenalan cukai ke atas import semikonduktor sehingga 300 peratus, sebagai sebahagian daripada strategi America First dan usaha untuk memperkukuh industri pembuatan cip dalam negara .

Bagaimanapun tindakan itu dijangka menjejaskan industri global.

Menurut laporan daripada syarikat perkhidmatan kewangan, AS mengimport kebanyakan semikonduktor dari Taiwan, Malaysia, Israel, Korea Selatan dan Ireland.

Setakat tahun lalu, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke AS mencecah RM119.86 bilion, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.

Eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport semikonduktor Malaysia.

Industri tersebut menggaji lebih 72,000 pekerja mahir dan disokong oleh lebih 7,200 pembekal tempatan, kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana.

Dianggarkan 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS adalah daripada syarikat Amerika yang beroperasi di Malaysia.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh suku kedua 2025 akan diumumkan pada Jumaat.

Jelasnya, Johor dijangka mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di negeri bagi tempoh suku kedua, sekali gus menjadi peneraju utama pelaburan negara.

“Di Johor, pelabur dapat dilihat ekosistem yang lengkap untuk membangunkan syarikat mereka. Pelabur mencari lokasi dengan ekosistem menyeluruh, dan Johor telah membina asas itu.

“Pembangunan ekosistem menyeluruh merangkumi kemudahan infrastruktur, tenaga kerja mahir serta sokongan kerajaan negeri menjadikan Johor kekal sebagai destinasi utama pilihan pelabur asing dan tempatan,” katanya.

Pada Jun lalu, Johor dilaporkan mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast