JOHOR BAHRU – “Punca saya membakar lori tunda MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) kerana marah permintaan saya untuk mendapatkan semula kereta yang ditunda dengan cara pengecualian ditolak.
“Pihak MBJB mengenakan bayaran RM500 sebelum dikurangkan kepada RM250 tetapi masih tidak mampu membayarnya walaupun dikurangkan menjadi RM200. Saya tak mampu bayar, mahal sangat.
“Pihak MBJB maklumkan kalau mahu pengecualian perlu berjumpa Datuk Bandar.
“Saya pergi ke (Pejabat MBJB) Bukit Senyum untuk bertemu Datuk Bandar tetapi tidak ada, saya tunggu dari malam sampai pagi untuk dapat pengecualian tetapi tidak dapat jumpa Datuk Bandar.
“Saya mohon hukuman saya diringankan kerana mempunyai tanggungan (komitmen) untuk membayar hutang motosikal, kereta dan rumah. Saya belum berkahwin dan baru mulakan untuk cari kerja baharu,” katanya.
Demikian rayuan Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar lori tunda MBJB, Jumaat lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dalam hujahnya berkata, walaupun tertuduh memberi alasan tidak mampu dan berada dalam keadaan marah, namun perbuatan membakar lori tunda di kawasan awam itu jelas boleh menjejaskan keselamatan bukan sahaja harta benda lain di lokasi kejadian, tetapi orang awam serta kakitangan Depoh Simpanan Kenderaan MBJB itu.
“Seperti yang tertuduh beritahu, pihak MBJB sudah pun menggunakan budi bicara untuk memberikan pengurangan kompaun, tetapi tertuduh masih melakukan jenayah serius ini.
“Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh sendiri,” katanya.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Thalha Bachok @ Embok Mok kemudian membuat keputusan dengan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh dan jika gagal membayar denda, akan dipenjara enam bulan.
Terdahulu, Wan Muhammad Nasrul dibawa semula ke mahkamah pada hari ini bagi mendengar hukuman terhadapnya selepas mahkamah menangguhkan prosiding semalam bagi membolehkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dimainkan di mahkamah.
Semalam, tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api iaitu petrol dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront di sini, pukul 11.07 pagi Jumaat lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang dilihat sudah botak dan tidak diwakili peguam masih mengekalkan pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Mengikut fakta kes, pada pukul 11.07 pagi, Jumaat lalu, pengadu yang juga seorang penguat kuasa MBJB terdengar bunyi letupan ketika berada di kaunter Depoh Simpanan Kenderaan MBJB sebelum berlari keluar dan melihat sebuah lori tunda milik MBJB terbakar.
Difahamkan, berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan seorang lelaki iaitu tertuduh menuang petrol dan menyalakan api ke arah bahagian belakang lori tunda itu sebelum membuat laporan polis.
Polis yang ke tempat kejadian kemudian menahan tertuduh dan merampas satu tong aluminum berwarna kelabu dan pemetik api. – MalaysiaGazette
















