BATU PAHAT – Kerja-kerja menyiapkan empat lorong pergi balik di Jalan Parit Sempadan hingga ke Ayer Hitam akan siap sepenuhnya menjalang Oktober ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan yang menelan kos RM220 juta itu melibatkan jarak sepanjang sejauh kira-kira 13 kilometer.
“Apabila siap akan turut mempunyai tiga pusingan U dan median tengah. Pembinaannya yang bermula pada 2021 adalah langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan.
“Ini kerana kemalangan jalan raya sebelum ini mencatatkan bilangan kemalangan tertinggi dalam negara kerana terlalu banyak persimpangan,” katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kerja Raya Johor, Ir Zainal Tumian dan Jurutera Daerah Batu Pahat Ir Fairul Azrie Yaacob.
Selain itu katanya, JKR Batu Pahat turut melaksanakan penyelenggaraan melibatkan 14 jalan Persekutuan dan 10 jalan negeri dengan kos RM25,379,130 bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad menggesa kontraktor kelas G1 hingga G1 merebut peluang kerja melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menyediakan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM611 bilion.
Ujarnya, daripada jumlah itu kerajaan menyediakan untuk mereka RM430 bilion, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disediakan RM120 billion dan projek kerjasama awam dan swasta (PPP/PFI) RM61 billion.
“Ia naik 34 peratus berbanding peruntukan yang disediakan dalam RMK12,” katanya.
Bagaimana pun, beliau mengingatkan semua kontraktor agar melakukan kerja ikut jadual bagi mengelakkan projek tergendala atau sakit.
Jelasnya, ini boleh dilaksanakan dengan menambah jumlah pekerja, menggunakan teknologi terkini dan masa kerja tambahan.
“Bagi kerja syif malam, mereka boleh melakukan kerja-kerja yang tidak mengganggu keselesaan orang ramai di sekeliling tempat pembinaan,” katanya.- MalaysiaGazette
















