BULI
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa buli sehingga nyawanya terancam dan trauma untuk ke sekolah.

Ia berlaku selepas mangsa didakwa diejek dan diugut akan dicederakan kerana enggan memberikan wang kepada rakan sekelasnya.

Lebih mengejutkan, aduan ibu pelajar berusia 16 tahun itu kepada pihak sekolah menerusi mesyuarat pada 3 Julai lalu di Bukit Piatu itu yang mempunyai pelajar harian dan asrama juga dinafikan pengurusan sekolah.

Menurut sumber, kejadian bermula pada Mei lalu ketika pengadu berada di asrama di mana rakan sekelasnya memintanya seorang lagi penghuni asrama membuat kutipan wang untuk membeli rak buku untuk mereka berdua.

Namun mangsa menolak untuk berbuat demikian kerana ia untuk kegunaan peribadi pelajar berkenaan.

“Akibatnya dakwa mangsa, dia menjadi bahan ejekan dua pelajar itu hampir setiap hari dengan perkataan ‘budak miskin’ walaupun dia telah bertukar ke blok asrama lain sehinggalah menjadi pelajar harian.

“Tindakan buli mental terhadap mangsa berlarutan sehinggalah minggu lalu si pelaku terus mengejeknya dan secara sinis,” katanya.

Sumber berkata, keadaan itu membuatkan emosi dan mental mangsa terganggu sehingga takut hendak ke sekolah namun memberanikan diri membuat aduan kepada guru sebelum pelajar berkenaan dipanggil pada 30 Jun lalu.

“Selepas si pelaku (pembuli) kembali ke kelas, seorang lagi rakan baik si pelaku bertanya apakah sebab dia dipanggil dan remaja berkenaan meluahkan rasa geram dan mahu menampar seseorang.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menceritakan perkara itu kepada ibunya dan wanita itu dikatakan ada mengadukan hal itu kepada guru dan pengurusan sekolah menerusi mesyuarat pada 3 Julai namun pihak sekolah menafikan kejadian buli,” katanya.

Jelas sumber lagi, mangsa yang merasakan nyawanya terancam selain mental dan emosi terganggu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir tengah hari semalam untuk melindungi dirinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast