Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkongsi bagaimana anggota Bomba menyelamatkan seorang lelaki yang duduk dalam keadaan membahayakan di tingkat 18 pangsapuri selepas gagal berjumpa dengan isterinya.

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan melakukan tindakan ekstrem, termasuk lompat dari kereta, melarikan diri dari rumah, dan cuba terjun dari bangunan selepas bertengkar dengan ahli keluarga atau orang kesayangan.

Dalam satu kes di Sri Hartamas, ibu negara pada 17 Ogos, jam 8 malam, seorang wanita secara tiba-tiba membuka pintu kereta yang sedang bergerak laju.

Menurut laporan China Press, wanita itu melompat keluar dari kereta, menyebabkan seliparnya tercampak dan dia hampir dilanggar oleh tiga kenderaan lain.

Saksi berkata, wanita yang dipercayai bertengkar dengan ahli keluarganya itu berguling di atas jalan sebelum terbaring di situ.

Tindakan itu memaksa tiga kenderaan lain berhenti mengejut untuk mengelak daripada melanggarnya. Orang ramai kemudiannya memapah wanita itu ke tepi jalan. Dia tidak mengalami kecederaan serius.

Pada hari yang sama, di Kepong, seorang lelaki dilaporkan duduk di balkoni tingkat 18 dengan kakinya terjuntai keluar dari bangunan pangsapuri.

Laporan Oriental Daily menyebut, lelaki itu bertindak demikian kerana tidak dapat bertemu dengan isterinya.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, bergegas ke tempat kejadian untuk memujuk dan menenangkan lelaki tersebut, sementara anggota bomba dan penyelamat bersiap sedia di tingkat 19.

“Ketika lelaki itu memandang ke arah saya, dua anggota bomba terjun dan dengan berani menolaknya masuk ke dalam bangunan dan berjaya menyelamatkannya,” kata Lip Eng memuji tindakan heroik anggota penyelamat.

Sementara itu, satu lagi kes pertelingkahan rumah tangga turut dilaporkan berlaku berhampiran Sentul.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Paul David, 39, sedang mencari isterinya, Juananey Samlin, yang melarikan diri bersama anak mereka yang berusia 10 tahun selepas mereka bertengkar.

Menurut China Press, Muhammad memohon bantuan orang ramai untuk mengesan isteri dan anaknya.

Katanya, sebelum menghilangkan diri pada 25 Julai, dia telah menegur isterinya kerana tidak menjawab panggilan telefonnya meskipun sudah berkali-kali dihubungi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast