Gambar hiasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2025.

ALOR GAJAH – Hanya kerana lambat memanaskan lauk, seorang pelajar perempuan cedera akibat dipukul dengan kerusi selain ditampar bapanya hingga cedera di rumah mereka di Kampung Panchor di sini Selasa lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku pukul 4.20 petang 19 Ogos lalu ketika remaja berusia 17 tahun itu sedang membuat kerja sekolah sebelum bapanya, penganggur berusia 40 tahun memintanya memanaskan lauk untuk dihantar kepada ibunya yang keluar bekerja.

Menurutnya, anak kedua daripada lima beradik itu bagaimanapun bertindak mencampakkan pen dipegang sebagai tanda protes menyebabkan lelaki itu hilang sabar.

“Suspek yang geram dengan tindakan biadab anaknya itu kemudian menampar pipi serta mulut pengadu sekuatnya menyebabkan pipinya bengkak serta luka di bibir.

“Anak kedua daripada lima beradik itu kemudian ke belakang dapur untuk keluar dari rumah sebelum suspek tiba-tiba membaling kerusi plastik dan terkena pada badan pengadu.

“Selepas itu, lelaki itu mencapai satu lagi kerusi plastik lain dan terus menghentak pada belakang badan dan bahu kiri mangsa sehingga tangannya berasa sakit,” katanya.

Tambahnya, pengadu seterusnya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah pada petang hari yang sama sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Bertindak hasil daripada laporan itu, sepasukan anggota polis yang bertugas di Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek petang tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya. 

“Suspek akan direman di Mahkamah Alor Gajah esok,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast