PONTIAN – Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal menzahirkan rasa kecewa apabila insiden Jalur Gemilang terbalik kembali berulang di mana kali ini membabitkan sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian.
Beliau berasa terkejut dan tidak menyangka perkara ini akan berulang, apatah lagi melibatkan sebuah premis pergigian.
“Insiden ini amat mengecewakan pentadbiran daerah. Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat lebih berhati-hati supaya perkara sebegini tidak lagi berulang,” katanya.
Semalam premis pergigian swasta terbabit diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu sehingga tular dalam media sosial.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan diserahkan kepada klinik berkenaan pada pukul 8.20 pagi semalam.
Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu di bawah berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis yang dilesenkan atau tidak dilesenkan di bawah UUK ini diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah yang betul bagi tempoh tertentu termasuk sambutan hari kebangsaan,” ujarnya.
Berikutan itu, Kamalludin menyeru semua pihak yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor memastikan bendera dipasang dalam keadaan yang sempurna dan tidak terbalik.
“Jika tidak pasti, mereka boleh merujuk kepada sumber melalui pelbagai kaedah termasuk media sosial selain mendapatkan panduan daripada pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 33 saat memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini. – MalaysiaGazette
















