Najib Razak

KUALA LUMPUR – Doa keluarga dan orang ramai terus memberi harapan dan kekuatan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk berjuang mendapatkan keadilan bagi dirinya yang genap tiga tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Dan, Najib percaya ‘saat’ itu pasti tiba

“Saat itu pasti tiba
Bila…..”, tulis beliau dalam nukilan luahan rasanya.

Berkongsi keadaan dirinya, Najib berkata, sujud dan doa sentiasa menjadi rutinnya di sebalik tirai besi untuk menenangkan hati.

Najib dipercayai menulis isi hatinya itu ketika menjelang Subuh.

Luahnya, laungan azan Subuh sayup kedengaran begitu sayu, merdu dan indah dari dinding kurungan.

Katanya, dalam keadaan dingin berlantai simen, tikar sejadahnya menjadi tempat beliau bermunajat, meluah rasa dan mengadu.

“Tikar sejadah menjadi teman
Sujud dan doa
Menenangkan hati
Menjadi tempat luahan
Menjadi tempat mengadu”

Najib akui usaha untuk mencari keadilan buatnya bukan mudah dan hanya Allah sahaja yang tahu dan mengerti.

“Pahit di mulut
Mencari keadilan untuk diri
Halangan, kezaliman
Rancangan mereka bertubi-tubi
Luka dan parut di hati
Hanya Allah yang tahu
Hanya Allah yang mengerti”

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast