KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat universiti yang berlangsung di Institut Biologi Tropika
dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, baru-baru ini dengan menekankan peranan penting pemuliharaan gajah Borneo.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, pemuliharaan gajah merupakan amanah kolektif melibatkan kerajaan, sektor
swasta, NGO, komuniti tempatan, institusi pendidikan dan setiap individu.
“Pemuliharaan bukan hanya tentang menyelamatkan gajah, tetapi juga tentang masa depan kita.
“Generasi muda harus menjadi penggerak, bukan sekadar pemerhati dan setiap dari kita boleh memainkan peranan sama ada melalui pendidikan, penyelidikan, advokasi
atau gaya hidup yang lebih mesra alam,” katanya dalam ucapan perasmian sempena program Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat UMS.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.
Tambah Abdul Rahman, usaha UMS melalui IBTP dalam memacu penyelidikan biodiversiti wajar dipuji khususnya dalam kajian berkaitan pemuliharaan gajah Borneo.
“Kejayaan ini diperkuat dengan pengiktirafan antarabangsa yang diperoleh oleh penyelidik IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman yang menerima pengiktirafan sebagai penerima anugerah Whitley 2025, sekali gus mengangkat nama UMS di persada global.
“Kerjasama strategik antara UMS dan NGO Seratu Aatai juga telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti penyelidikan terhadap tingkah laku gajah, pendidikan komuniti, dan penglibatan masyarakat dalam mitigasi konflik gajah dan manusia. Usaha-usaha ini menjadi contoh pendekatan holistik yang wajar diteruskan,” ujarnya.
Pada sambutan tersebut, sesi perkongsian ilmu, pameran interaktif serta program kesedaran yang melibatkan pelbagai pihak turut diadakan sebagai usaha memperkukuh pemahaman masyarakat tentang pentingnya melindungi spesies gajah pigmi Borneo yang unik. – MalaysiaGazette















