PASIR GUDANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, 64, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini malam ini.
Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dalam satu kenyataan malam ini merakamkan takziah kepada keluarga Che Zakaria yang menghembuskan nafas terakhir pukul 9.50 malam yadi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kita Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (mantan Adun Permas dan AJK Amanah Negeri Johor) telah kembali ke rahmatullah.
“Amanah Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
“Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan doa agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Sebarang maklumat lanjut tentang pengebumian akan dimaklumkan kemudian. Al-Fatihah,” menurut kenyataan tersebut.
Allahyarham sebelum ini pernah bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Pengerang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 namun tewas kepada Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebelum itu beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam PRU-14 pada 2018.- MalaysiaGazette
















