BUKIT MERTAJAM – Usia baru 18 bulan, namun Hee Gia Yee sudah berdepan ujian berat apabila disahkan menghidap penyakit genetik jarang berlaku, penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 2.
Anak tunggal kepada pasangan penjaja, Hee Choon Keat, 41, dan isterinya Tran Thi Yen, 26, itu kini memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM550,000 bagi mendapatkan rawatan genetik sebelum usianya mencecah dua tahun.
Menurut Choon Keat, anaknya pada awal kelahiran membesar seperti bayi normal, malah mampu meniarap dan mengangkat kepala. Namun ketika berusia lapan bulan, semuanya berubah.
“Selepas lapan bulan, anak saya tiba-tiba tak boleh angkat kepala dan meniarap. Selepas pemeriksaan di hospital, dia disahkan menghidap SMA Jenis 2.
“Mengharap anak mampu sembuh kami sanggup terbang hingga ke Guangzhou, China untuk dapatkan rawatan.
“Doktor di China menyarankan Gia Yee mengambil ubat yang perlu dimakan sepanjang hayat namun kami tidak mampu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Choon Keat yang berasal dari Taiping, Perak berkata, mereka kemudian dimaklumkan tentang rawatan genetik di Indonesia menggunakan ubat Vesemnogene lantuparvovec untuk merawat Gia Yee.
Bagaimanapun, katanya, kos rawatan terlalu tinggi iaitu sekitar AS$125,000 atau RM550,000 sekali gus membuatkan mereka tidak mampu untuk menampungnya.
“Suntikan itu mesti diberi sebelum anak saya berusia dua tahun, jika tidak ototnya akan terus menyusut sampai tak boleh bergerak selain rawatan juga tak lagi berkesan.
“Pendapatan saya sebagai sebagai penjaja kecil hanya cukup untuk menampung kos harian keluarga kami sahaja tambahan pula isteri saya, warga Vietnam hanya membantu saya menguruskan gerai.
“Saya merayu bantuan orang ramai membantu kami memberikan kehidupan yang sempurna kepada Gia Yee seperti kanak-kanak lain, kami tak sanggup tengok dia terbaring saja,” ujarnya sebak.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati membantu keluarga itu untuk mengumpul dana orang ramai.
“Justeru orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).
“Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org atau hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192,” katanya. – MalaysiaGazette
















