KUALA LUMPUR – Pemimpin masyarakat India tidak pernah mempersoalkan atau mempertikaikan peruntukan yang diberikan kepada masyarakat Melayu mahupun Cina.
Sebaliknya, kata Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj, pemimpin India hanya meminta supaya kerajaan memperbanyakkan lagi inisiatif sosio ekonomi dan pendidikan untuk masyarakat mereka sahaja.
Ujarnya, dua perkara itu adalah berbeza dan perlu difahami dengan jelas supaya tidak menimbulkan salah tafsir antara kaum.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pemimpin India yang didakwa membangkitkan isu itu sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah terdapat penentangan terhadap hak orang Melayu.
“Sepanjang masa, kami tidak pernah menafikan atau membangkitkan isu hak orang Melayu malah kami sentiasa menyokong hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Apa yang kami lakukan hanyalah memperjuangkan hak masyarakat India secara adil, tanpa mengambil hak mana-mana kaum lain.
“Jika ada pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan hak Melayu maka persoalan mesti ditanya secara terus terang, pemimpin India mana yang pernah mempersoalkan hak orang Melayu?
“Dan siapa pula yang pernah menyoal peruntukan untuk masyarakat Melayu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan beberapa perkara mengenai masyarakat India.
Antara lain, Anwar menyebut; “Jadi saya harap dengan penjelasan ini, kita kurangkanlah polemik kaum ini. Kalau nak minta kemudahan masyarakat India, silakan. Tapi janganlah katakan pasal apa Melayu dapat.”
Sementara itu, Sivaraj berkata, pemimpin India termasuk beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Negara merupakan wakil kepada masyarakat India.
Sehubungan itu, ujarnya, menjadi tanggungjawab mereka untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum India supaya agenda pemerkasaan sosio ekonomi masyarakat India tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Apatah lagi, tambah beliau, masyarakat India tidak mempunyai jawatankuasa khas peringkat kerajaan selain tidak mempunyai wakil dalam Kabinet yang boleh membawa isu mereka secara terus kepada perhatian Jemaah Menteri.
“Maka adalah wajar kami menggunakan Dewan Negara ini untuk menyuarakan hasrat dan cadangan masyarakat India secara terbuka, dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette
















