Surat Donald Trump kepada Lisa Cook.

WASHNGTON – Presiden AS Donald Trump berkata, beliau akan segera memecat gabenor Rizab Persekutuan Lisa Cook daripada jawatannya dalam lembaga pengarah bank pusat itu.

Dalam pengumuman yang dibuat di platform media sosialnya Truth Social, Trump menyiarkan surat yang dialamatkan kepada Cook dengan memaklumkan keputusan beliau.

Trump turut mendakwa Cook telah membuat ‘penipuan dan potensi jenayah’ dalam gadai janji.

Cook atau Rizab Persekutuan (Fed) belum mengulas mengenai pemecatan itu.

Trump telah meningkatkan tekanan ke atas Fed terutamanya pengerusinya Jerome Powell selepas keengganan Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) itu menurunkan kadar faedah.

Presiden AS itu juga telah berulang kali menyatakan kemungkinan untuk memecat Powell.

Menurut surat Trump, Cook menandatangani satu dokumen yang membuktikan sebuah hartanah di Michigan akan menjadi kediaman utamanya untuk tahun depan.

“Dua minggu kemudian, anda menandatangani dokumen lain untuk hartanah di Georgia yang menyatakan bahawa ia akan menjadi kediaman utama anda untuk tahun depan.

“Tidak dapat dibayangkan bahawa anda tidak menyedari komitmen pertama anda apabila membuat komitmen kedua,” kata Trump.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, selepas dia dituduh melakukan penipuan gadai janji oleh Ketua Agensi Kewangan Perumahan, Cook berkata, dia “tidak berniat dibuli untuk berundur daripada jawatan saya kerana beberapa soalan yang dibangkitkan dalam tweet”.

Sebaliknya, Cook berkata dia “mengumpul maklumat yang tepat untuk menjawab sebarang soalan yang sah dan memberikan fakta”.

Cook ialah wanita Afrika Amerika pertama yang menduduki lembaga pengarah, jawatan yang dipegangnya sejak 2022. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast