KUALA LUMPUR – Bersempena bulan ulang tahun kemerdekaan Malaysia, satu cadangan moratorium untuk semua ahli politik di negara ini dilaksanakan.
Moratorium ini bertujuan menutup mulut ahli-ahli politik daripada bercakap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfik Yaakob berpendapat, cadangan itu wajar dilakukan untuk menyemai rasa kasih dan hormat pada tanah air.
“Dengan cara ini dapatlah semua menumpukan hal-hal negara daripada bercakap kepada perkara politik semata-mata.
“Jika ada kesilapan sedikit sebanyak yang berlaku, serahkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk tangani keadaan itu atau kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak ada kepentingan politik.
“Paling penting NGO ini atau mana-mana pihak tidak ada yang mempolitikkan isu-isu untuk mendapat political mileage,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Akmal vs Lokman: Tanda Perpecahan Dalam UMNO?’.
Beliau berkata, insiden pergeseran di antara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam tidak harus dipanjang-panjangkan.
“Saya fikir kepimpinan tertinggi parti itu sudah menjalankan tugas untuk menyelesaikan konflik dalaman mereka.
“Kerana itu, saya cadangkan moratorium ini supaya tidak ada lagi insiden seperti ini berlaku khususnya kita berada pada bulan penting iaitu memperingati kemerdekaan kita,” ujarnya.
Jelasnya, setiap pemimpin perlu mengambil contoh sikap dan amalan dahulu yang sama-sama membetulkan mana-mana kesilapan yang berlaku.
“Kalau 30 tahun dulu ada isu-isu sedemikian berlaku, kita tak dengar petengkaran sebaliknya sama-sama membetulkan mana-mana kesilapan.
“Sama juga, jika ada kekurangan sama-sama tambah baik, kerana itu saya katakan moratorioum ini terbaik untuk semua ahli politik bergandingan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai sikap yang ditunjukkan oleh Dr Muhammad Akmal yang dikatakan melanggar prinsip parti, Muhammad Tawfik berkata, tindakan sedemikian dilihat sebagai semangat sayap kanan UMNO.
“Saya melihat itulah tradisi Pemuda UMNO, masing-masing bersemangat dan berkobar-kobar, selagi tidak melanggar perjuangan parti, mereka akan bersuara.
“Cuma, negara kita ada undang-undang, tak boleh ambil langkah sendirian.
“Jangan keterlaluan, nak tunjuk sayang pada negara tapi tindakan itu perlu disesuaikan dengan keperluang undang-undang negara,” katanya.
Pergeseran di antara Dr Muhammad Akmal dan Lokman tercetus sebelum ini apabila tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-duanya hingga ada mencabar untuk tindakan saman.
Drama pergeseran dilihat lebih nampak ‘sakit’ apabila kedua-duanya adalah daripada parti yang sama.
Tinjauan MalaysiaGazette di ruangan media sosial mendapati kedua-dua pemimpin ini sudah tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan malah video tuduhan juga telah dipadamkan. -MalaysiaGazette
















