PUTRAJAYA – Pemimpin bertanggungjawab untuk menggunakan kuasanya demi menjayakan harapan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, tiada konsep kuasa mutlak terletak di tangan pemimpin kerana mereka dipilih oleh rakyat.

“Pemimpin perlu diberi kuasa tapi kuasa itu untuk menjayakan apa yang diharapnya kepadanya, tiada konsep kuasa mutlak dan (tiada) apa sahaja dilakukannya tidak boleh disoal.

“Kuasa yang digunakan mesti untuk mencapai matlamat yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya ketika sesi Dialog Merdeka: Kepimpinan Malaysia dalam menghadapi krisis di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Tambahnya, rakyat juga berperanan untuk menolak pemimpin yang gagal melunaskan janji kepada rakyat dan melakukan seleweng.

Namun ujarnya, penolakan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Kita dapati kerap kali janji-janji yang dibuat sebelum mendapat kuasa tidak dilakukan apabia sudah dapat kuasa.

“Di negara lain kalau pemimpin itu melakukan suatu perkara yang salah apabila ditegur ada yang letak jawatan.

“Dalam sistem, kita boleh menentukan pemimpin yang tidak menyeleweng. (Namun) Sikap Kita tidak boleh menyusahkan,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, meskipun rakyat tertekan dengan dasar yang dilaksanakan oleh pemimpin namun kestabilan negara juga perlu diutamakan.

“Walaupun rakyat berada tertekan kerana dasar pemimpin tapi kalau kita mudahkan sangat (nak) jatuhkan pemimpin, keadaan akan jadi tidak stabil.

“Sebaliknya kita ikuti undang-undang,  terpulang kepada kita untuk guna undang-undang dengan penukar pemimpin atau sehingga tamatnya edah pemimpin itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast