KUANTAN – Seorang pengamal perubatan tidak bertauliah menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, di atas pertuduhan menyediakan klinik perubatan swasta tidak berdaftar.
Aina Najwa Syfulnizam, 25 menukar pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, wania itu didakwa menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menyediakan perkhidmata suntikan melalui IV drip yang merupakan suatu bentuk amalan perubatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di premis Aina Medispa beralamat di 8, Jalan Pantai Kampung Balok, di sini, kira-kira jam 2.20 petang 12 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5 (1) (a) Akta yang sama iaitu hukuman denda RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 24 Julai lepas, Aina mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa raya Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Shamsulnizam Kassim, manakala Aina diwakili Peguam Halimaton Saadiah Abu Samah.
Mahmakah kemudian menetapkan tarikh 9 Oktober depan bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Rumah jadi klinik gigi, berselindung di sebalik pusat kecantikan
















