Peserta daripada pelbagai lapisan kaum antara 10,000 peserta hadir himpunan aman ‘Justice For Zara Qairina’ menyatakan simpati terhadapnya di hadapan Dataran UTC Melaka, Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto REZA A HAMID, 16 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan mendengar permohonan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir supaya mendaklarasikan ibu pelajar itu, Noraidah Lamat sebagai orang berkepentingan dalam prosiding inkues bermula 3 September ini.

Pada 19 Ogos lalu, pasukan peguam diketuai Hamid Ismail dilaporkan memfailkan permohonan tersebut..

Noraidah turut mohon terlibat dalam inkues tersebut bagi memeriksa dan menyoal balas saksi, melihat dokumen, mencadangkan dan membawa saksi-saksi serta dokumen tambahan untuk membantu koroner.

Selain itu, mereka turut memohon agar diberikan salinan dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum prosiding bermula.

Sebelum ini, Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran inkues kematian arwah Zara Qairina pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan.

Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak pada 20 Ogos lalu, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap seorang pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, bulan lepas.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, dekat sini antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas . -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast