KUANTAN – Gagal memintas kereta ketika hujan lebat dipercayai menjadi punca seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lipis, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa, Abd Rosid, 23, yang merupakan seorang buruh binaan warga Indonesia dalam perjalanan dari bandar Lipis ke rumah kongsi di Kuala Lanar.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, kemalangan di kilometer 1, Jalan Lipis-Jerantut di Kampung Tanjung Lipis itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.
“Hasil siasatan awal mendapati, kereta Persona dipandu lelaki berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah pulang ke rumahnya di Prima Kuala Lanar.
“Manakala lelaki berusia 39 tahun yang memandu Pajero dalam perjalanan dari Ladang Sawit Kuala Lanar pulang ke rumahnya di Sungai Koyan.
“Apabila sampai di tempat kejadian dalam keadaan cuaca hujan lebat serta keadaan jalan basah, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan semasa sedang memotong kereta Persona dan telah bergesel dengan kereta itu,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Ismail, motosikal dinaiki mangsa kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar Pajero yang tidak sempat mengelak.
Akibat kemalangan tersebut, beliau berkata, mangsa tercampak kira-kira lima meter daripada motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya, kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ismail menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian agar tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















