KENYATAAN JPRSabah berhubung isu autonomi PKR Sabah. - Foto: FB PKR Sabah

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Raya Keadilan Sabah (JPRSabah) menyifatkan dakwaan bahawa ia hilang autonomi dalam menguruskan hal ehwal pilihan raya di peringkat negeri itu sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, Pengarah Bersama JPRSabah, Abdul Razak Jamil berkata, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat sentiasa mendengar pandangan serta nasihat daripada pimpinan negeri.

Menurutnya, fungsi Unit Logistik JPRSabah hanya bermula setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, sekali gus menolak tuduhan bahawa Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) telah mengambil alih tugasan logistik di negeri itu.

Sedangkan, jelas beliau, segala urusan melibatkan isu logistik khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi berjalan teratur seperti yang dirancang.

“JPRSabah menegaskan bahawa dakwaan yang dikemukakan adalah tidak berasas dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada penyokong parti.

“Kami akan terus melaksanakan amanah dengan penuh komitmen demi memastikan kelancaran menghadapi PRN-17 yang akan berlangsung tidak lama lagi,,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook PKR Sabah.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Unit Logistik JPRSabah, Fekirie Gobet meletakkan jawatan serta-merta selepas mendakwa peranan jawatankuasa negeri itu tidak lagi relevan apabila urusan logistik diambil alih sepenuhnya oleh JPRP.

Fekirie berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati banyak keputusan yang dibincangkan di peringkat JPRSabah diketepikan, sekali gus menggambarkan kehilangan autonomi dalam pengurusan pilihan raya di Sabah.

Beliau turut mendakwa selain Unit Logistik, beberapa unit lain dalam JPRSabah turut berdepan situasi sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast