KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi kesalahan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Hasbullah Hassan, 46, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi media sosial Facebook.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini pada pukul 9 pagi 23 Mac 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Hasbullah didakwa memiliki 143 gambar dan tiga video dalam dua buah telefon bimbit yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan Daesh serta sebentuk cincin yang mengandungi logo kumpulan pengganas itu di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat, Johor pada 12.30 tengah hari, 30 Mei 2024.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh dipenjara selama 10 tahun manakala pertuduhan kedua dipenjara enam tahun.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Mei tahun lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Ridzwan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan itu serius selain membabitkan kemudaratan kepada keselamatan negara.
Bagaimanapun, peguam Wan Muhamad Yusof W. Husin memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan polis mendapati sebanyak sembilan akaun media sosial Facebook telah digunakan tertuduh untuk mempromosikan kumpulan pengganas Daesh dengan membuat hantaran, gambar dan video berkaitan kumpulan tersebut.
Selain itu, dua telefon bimbit milik tertuduh juga mempunyai kaitan dengan keganasan, ekstremisme dan terrorisme yang berhubung kait dengan kumpulan pengganas itu. – MalaysiaGazette
















