Jalex Lee

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan pilihan yang tepat untuk merampas kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) berdasarkan komposisi masyarakatnya.

Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK), Jalex Lee berkata, harapan untuk menang cerah sekiranya Pakatan Harapan (PH) setuju meletakkan calon PKR bertanding di Parlimen Muar.

“Sebagai sebuah kawasan dengan komposisi demografi campuran, lebih 60 peratus pengundi Melayu dan sekitar 30 peratus pengundi bukan Melayu, Muar merupakan kerusi yang secara tradisinya telah diamanahkan kepada Keadilan untuk ditandingi.

“Sejak penubuhannya, PKR secara konsisten memperjuangkan ideologi berbilang kaum, menjadikan parti ini pilihan untuk mengoptimumkan peluang untuk menang.

“Atas sebab itu, PKR yakin bahawa kerusi Parlimen Muar adalah milik PH dan PKR merupakan calon paling sesuai untuk bertanding.

“Dengan rekod pencapaian yang terbukti serta asas perjuangan majmuk yang kukuh, PKR akan memberikan peluang terbaik kepada Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kembali Muar pada PRU-16,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pihaknya berhasrat menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

Menurut Dr Zaliha, PKR Johor berhasrat menawan kerusi Parlimen Muar, Mersing dan Pagoh dengan melihat Muar paling berpotensi untuk dimenangi.

“Muar pernah menjadi kerusi yang kita perjuangkan dan pada PRU-16 nanti, Keadilan Johor bertekad merampas semula kerusi ini,” ujar Dr Zaliha.

Mengulas lanjut, Jalex Leer berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Dr Zaliha itu dan sebelum ini parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memenangi kerusi Parlimen Muar atas tiket PH pada PRU-15.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Rahman berpaling tadah dan tidak lagi bersama-sama PH.

“Tindakan berpaling daripada komitmen ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat kerjasama yang telah membawa kemenangan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast