Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor bakal melaksanakan dua inisiatif rintis bagi menangani buli.

Dua inisiatif tersebut adalah kumpulan sokongan rakan sebaya dan pemerkasaan kompetensi guru dalam pengendalian kes buli di sekolah yang juga usaha memperkasakan Selangor Mental Sihat (SEHAT).

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, ia susulan dripada kes buli dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan.

Jelas beliau, pelajar yang menjadi mangsa buli boleh berkongsi pengalaman serta menerima dorongan daripada rakan menerusi kumpulan rakan sebaya.

“Kumpulan ini akan dibimbing dan dipantau oleh guru kaunselor bagi memastikan sokongan lebih teguh dan hala tuju sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa.

“Kumpulan ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan, tetapi juga dapat menanam rasa empati, membina keyakinan diri dan menggalakkan pelajar untuk saling menyokong. Kami percaya apabila murid melihat rakan sebaya turut prihatin dan mendengar, ia akan dapat mengurangkan rasa keseorangan, menguatkan semangat mereka untuk bangkit, sekali gus membantu mencegah kes buli daripada berulang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, sebagai permulaan kumpulan berkenaan dilaksanakan secara rintis di beberapa buah sekolah menengah terpilih.

“Khususnya sekolah berasrama dan sekolah yang dikenal pasti mencatat insiden buli yang tinggi. Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta pakar psikologi pendidikan yang terlibat dalam pembangunan modul Selangor Mental Sihat (SEHAT),” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membangunkan sebuah modul latihan bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru, khususnya guru kaunselor dan guru disiplin dalam menangani kes-kes buli secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman terhadap punca-punca buli, faktor yang menyebabkan mangsa enggan melaporkan kejadian termasuk isu budaya senioriti atau ketakutan tiada tindakan diambil, serta memperkukuh penguasaan terhadap garis panduan sedia ada dalam pengurusan salah laku buli di sekolah,” tambahnya.

Program SEHAT telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2021 untuk memperkasa kesedaran, pencegahan awal dan akses kepada sokongan kesihatan mental bagi semua lapisan masyarakat. Program ini merangkumi tiga inisiatif iaitu Program Kaunselor Hab SEHAT, Talian SEHAT serta Subsidi Rawatan Psikiatri dan Psikologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast