KUALA LUMPUR – Isteri kepada Shuk Sahar iaitu Fara Salleh membalas kenyataan suaminya yang dimuat naik di media sosial dengan meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pelawak dan pengacara itu dalam menangani kemelut rumah tangga mereka.
Fara, 33, menyifatkan kenyataan Shuk sebagai cubaan mengalihkan perhatian, selain mendakwa beliau tidak memberikan kerjasama, termasuk gagal hadir ke perbicaraan pertama di Mahkamah Syariah pada 10 Julai lalu.
“Kenyataan fitnah? Di mana awak pada 10 Julai 2025, tarikh mahkamah pertama? Dah diberitahu tapi tak hadir. Kalau saya fitnah, beritahu bahagian mana?
“Tempat kau berpijak tu ada undang-undang. Dan ini urusan undang-undang. Nak saman aku? Pastikan kau telus pada peguam kau tentang isu sebenar,” katanya menerusi hantaran di InstaStory, semalam.
Menurut Fara, beliau tidak berniat untuk mendedahkan masalah peribadi secara terbuka, namun langkah itu diambil selepas pelbagai usaha secara tertutup tidak membuahkan hasil.
Malah, beliau beranggapan tindakan Shuk membawa isu berkenaan ke mahkamah seolah-olah cuba menutup kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Secara peribadi pun sudah saya cuba, tetapi awak tetap tak beri kerjasama. Mahkamah sendiri tak dapat hubungi awak, ahli keluarga pun tidak membantu.
“Kau nak saman aku? Silakan… buat! Pada satu hari nanti, Nada akan cakap pada kau, ‘You’re my enemy since the day you attack my mom’,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fara menjelaskan, pengesahan pernikahan dan penceraian perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan urusan pendaftaran kelahiran anak mereka, Elaine Nada, yang dilahirkan pada 26 Jun lalu.
Untuk rekod, Shuk dan Fara mendirikan rumah tangga pada November 2023.
Pada April lalu, Fara mendakwa Shuk telah melafazkan cerai talak satu menerusi panggilan telefon ketika berada di Thailand, namun pengesahan nikah dan cerai mereka masih belum diputuskan oleh pihak mahkamah. – MalaysiaGazette















