KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah serta berniat jahat terhadap dia dan keluarganya.
Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 39, berkata, beliau sebelum ini memilih untuk berdiam diri kerana mahu menyelesaikan perkara peribadi secara tertutup.
Namun, katanya, keadaan semakin berlarutan sehingga menjejaskan nama baik ibu bapa serta anak-anaknya.
“Saya berdiam diri selama ini kerana mahu perkara bersifat peribadi ini diselesaikan dengan cara baik dan tertutup. Namun saya mendapati perkara ini masih berterusan dan melampaui batas.
“Sehinggakan penyataan serta gelaran yang tidak sepatutnya ditujukan kepada ibu bapa serta anak-anak saya. Oleh demikian, semua pihak disarankan tidak membuat sebarang penyataan, spekulasi, komen serta andaian.
“Demi menegakkan kebenaran dan atas nama keadilan, saya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada pihak dan atau pihak-pihak yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Shuk menegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu yang masih belum diputuskan oleh mahkamah termasuk pengesahan pernikahan serta status penceraian mereka.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi menghormati institusi kehakiman serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak.
Sebelum ini, isterinya Fara Salleh mendakwa Shuk serta keluarganya tidak memberikan kerjasama kepada pihak mahkamah untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan rumah tangga mereka.
Untuk rekod, Shuk dan Fara mendirikan rumah tangga pada November 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Elaine Nada, yang dilahirkan pada 26 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















