Wakil Segamat, Johor, Senator Zahari Sarip menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 27,429 atau 99.2 peratus penyerahan geran hak milik tanah melibatkan lot utama peneroka Felda di seluruh negeri ini sehingga Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pihaknya menyasarkan baki geran berkenaan dapat diserahkan menjelang hujung tahun ini.

“Bagi generasi kedua Felda pula, seramai 7,915 penerima (75.3 peratus), telah mendapat manfaat menerusi penyerahan geran hak milik lot kediaman daripada 10,363 kelulusan permohonan.

“Pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak Felda, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Pejabat Tanah Daerah serta agensi-agensi berkaitan bagi melancarkan proses permohonan, pengesahan dan pengeluaran geran hak milik yang dinantikan seluruh warga Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, usaha itu bukan sahaja memberikan jaminan pemilikan tanah yang sah kepada peneroka Felda malah membuka peluang kepada generasi kedua Felda memiliki lot kediaman sendiri.

“Seterusnya ia memastikan kelestarian penempatan Felda di Johor,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu.

Sementara itu, Zahari berkata, selari dengan aspirasi mengukuhkan kesejahteraan sosial warga Felda, Menteri Besar Johor baru-baru ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.62 juta bagi melaksanakan 10 inisiatif khas untuk warga Felda.

Selain itu ujarnya, kerajaan negeri bersama-sama Felda turut memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi pembangunan infrastruktur asas lot kediaman generasi Felda di negeri ini.

“Kerajaan negeri yakin bahawa segala usaha yang digerakkan ini akan menyumbang kepada kesejahteraan warga Felda dan seterusnya memperkasa pembangunan komuniti luar bandar selari dengan agenda Maju Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast