KAJANG – Seorang pemandu lori direman tiga hari bermula hari ini selepas terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Kilometer 292.8 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban arah ibu negara semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan Kajang sebelum direman hingga Selasa ini.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori berkenaan dipercayai terlelap lalu memasuki lorong kecemasan tanpa memberi isyarat.
“Lori itu kemudian melanggar motosikal yang ditunggang mangsa berusia 39 tahun hingga menyebabkan kecederaan parah dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari Bahau menuju ke Dengkil.
Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain dan tular di media sosial yang mendapat pelbagai kecaman berikutan insiden itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu lori ditahan bantu siasatan motosikal dirempuh di lorong kecemasan
















