Poster Teater Cik Ros

PERJUANGAN lebih empat dekad tokoh seni persembahan tersohor tanah air, Dr Rosminah Mohd. Tahir akan dipentaskan dengan judul Cik Ros pada 19-21 September ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Pementasan tersebut adalah salah satu usaha untuk mengenang budi dan ketokohan Rosminah dalam persembahan dan pendidikan seni negara ini  agar terus kekal dalam dokumentasi negara.

Menurut Pengarah Projek Cik Ros, Stynurseidah Desa, projek ini adalah antara program yang diatur untuk mengangkat tokoh seni Malaysia di persada antarabangsa oleh CTRA Production dan Abada Global Resources.

“Kami mengambil langkah pertama dengan mengetengahkan ketokohan Dr Rosminah kerana beliau sangat rapat dengan kami terutamanya bekas pelajar di ASK dengan sokongan rakan startegik iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

2. ANTARA tenaga produksi dan pelakon yang terlibat dalam teater Cik Ros pada 19-21 September ini di DBP, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, teater berdurasi 90 minit itu akan diarahkan oleh adik Dr Rosminah iaitu Hamzah Tahir yang juga seorang pensyarah dalam bidang seni di UiTM, Shah Alam manakala penerbitnya ialah Siti Rohayah Attan.

“Apabila kami mengajukan idea pementasan teater ini maka ramai yang mahu terlibat kerana sanjungan mereka kepada Rosminah. Bagaimana pun ‘syarat utama’ penerbit bahawa yang terlibat wajib pernah bersama dengan Rosminah sebelum ini.

“Maka, kesemua yang terlibat di dalam produksi ini pernah bekerja dengan Dr Rosminah dalam banyak persembahan yang dipentaskan di seluruh negara malah ke luar negara,” katanya.

Pelakon yang terlibat dalam teater Cik Ros ialah Datuk Tamimi Siregar, Amy Mastura, Liza Abdullah, Datuk Ziela Jalil, Zaifri Husin, Juhara Ayub, Shahrul Mizad Ashari, Rosli Rahman Adam, Faysal Saad, Zera Hariz, Serra Kamal, Pavy Raj, Lim Mei Fern dan Herman Ghazali.

“Teater ini bersifat biografi namun pendekatannya berbeza kerana watak Rosminah dalam cerita hanya hidup dalam cerita pelakon-pelakon lain.”

“Setiap pelakon akan memegang watak mereka sendiri dan menceritakan pengalaman mereka di bawah arahan Rosminah termasuk insiden dibaling kasut, diherdik dan sebagainya,” tambah beliau yang pernah menjadi pelajar Rosminah ketika di ASK.

Dr Rosminah yang berasal dari Muar, Johor antara pelopor penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini digelar ASWARA telah melahirkan ribuan pelajar ketika menjadi pensyarah dan dekan di institusi seni tersebut.

Beliau juga telah menulis banyak naskhah dan mengarah lebih 60 teater sejak 40 tahun lalu antaranya Muzikal Tun Mahathir, Lantai T. Pinkie, Muzikal Ibu Zain, Di Bawah Lindungan Kaabah, Nyonya, Dara & Makcik Bawang, Diari Wanita, Li Po, Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu, Gadis Melayu dan A Modern Women.

Dalam teater ini terdapat tiga lagu baru khusus untuk allahyarhamah iaitu Kau Di Sudut Hati (lagu oleh Faizal Fauzi manakala lirik oleh Sitiroy Tan dan lagu Ros Yang Menawan ciptaan Asry Hassan manakala lirik oleh Ezee Klasik dan Ros nyanyia Amy Mastura (secara harmoni).

Dr Rosminah menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei 2024 pada usia 65 tahun di kediamannya di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast