Seorang lelaki warga emas maut selepas tersepit hampir sejam manakala seorang lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Jasin, petang tadi.

JASIN – Seorang lelaki warga emas maut selepas tersepit hampir sejam manakala seorang lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.19 petang itu, sebuah lori treler, lori tiga tan serta van dipercayai terbabit dalam pelanggaran menyebabkan pemandu van berusia 60 tahun tersepit dan maut di lokasi.

Keadaan itu menyebabkan pihak bomba terpaksa mengambil masa hampir hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Iskandar Ismail berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari bersama bantuan BBP Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang.

“Setibanya pasukan di lokasi 16 minit kemudian, didapati seorang mangsa lelaki berusia 40 tahun tersepit dalam lori tiga tan dan berjaya dikeluarkan pada jam 3.05 petang sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 60 tahun yang tersepit dalam van bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan selepas berjaya dikeluarkan pada jam 3.22 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.47 petang sebelum ditamatkan pada jam 5.43 petang.

Nahas itu turut menyebabkan aliran trafik di lebuh raya sesak sejauh enam kilometer apabila pengguna memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas pihak berkuasa berjaya mengawal lalu lintas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast