Jegan (tengah) menunjukkan antara gas LPG yang dirampas pihaknya dalam dua serbuan di Bukit Minyak dan Juru hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang merampas 1.2 tan gas petroleum cecair (LPG) dalam dua serbuan berasingan di Bukit Minyak dan Juru, dekat sini, hari ini.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, operasi bermula jam 11.30 pagi itu dilakukan selepas dua minggu risikan menerusi Ops Gasak.

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama mendapati sebuah kilang menggunakan LPG tanpa permit sah daripada Pengawal Bekalan.

“Pasukan penguat kuasa menemukan lapan silinder LPG jenis ‘baby tank’ yang sebahagiannya masih berisi dan digunakan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Jegan.

Menurut beliau, serbuan di lokasi kedua pula mendapati premis berkenaan menjual barang kawalan kepada pihak tidak berlesen.

“Keseluruhan rampasan melibatkan lapan silinder LPG berkapasiti 200 kilogram setiap satu dengan anggaran berat 1,200 kilogram dan nilai kira-kira RM4,000.

“Nilai keseluruhan rampasan di dua lokasi itu dianggarkan melebihi RM58,000,” jelasnya.

Tambah Jegan, pihaknya turut menahan tiga pekerja terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 25 hingga 50 tahun untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, syarikat memberi alasan tidak mengetahui keperluan lesen dan permit LPG.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta, manakala kesalahan berikutnya tidak lebih RM5 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast