KENYATAAN akhbar Pas WP berkenaan isu pilihan raya PBT.

KUALA LUMPUR – Pas Wialayah Persekutuan membantah sekeras-kerasnya cadangan MCA supaya Kerajaan Perpaduan mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan (undi ketiga) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, sejarah membuktikan pilihan raya kerajaan tempatan pernah menimbulkan ketegangan kaum serta ketidakseimbangan representasi masyarakat bandar.

Menurutnya, cadangan MCA itu juga hanya akan membuka semula ruang polarisasi kaum, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai komposisi penduduk majmuk.

Sementelah, tambah beliau, ketika ini sudah ada Ahli Parlimen, Datuk Bandar serta Kementerian Wilayah Persekutuan khusus untuk mendengar suara rakyat.

“Mekanisme sedia ada seperti mesyuarat penduduk, Rukun Tetangga, persatuan penduduk, serta Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) sudah mencukupi untuk menyalurkan aspirasi rakyat tanpa perlu menambah lapisan politik baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Tan Kok Eng menggesa Kerajaan Madani menepati komitmen mereka terhadap demokrasi dengan mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan.

Menurut Kok Eng, gesaan itu bukan sekadar aspirasi politik, tetapi satu keperluan penting bagi mengukuhkan tadbir urus bandar, menekankan kebertanggungjawaban dan memperkasakan penduduk.

Sementara itu, Azhar menambah, mengadakan pilihan raya tempatan juga memerlukan peruntukan besar, sedangkan bajet negara kini lebih wajar difokuskan kepada menangani kos sara hidup, perumahan, kesihatan dan pendidikan rakyat.

Katanya, dengan memberi ruang kepada pihak tertentu menguasai Dewan Bandaraya atau majlis tempatan melalui pilihan raya, ia berpotensi mewujudkan percanggahan dasar antara kerajaan Pusat dengan kerajaan tempatan, sekali gus melumpuhkan kelancaran pentadbiran bandar raya.

“Pas Wilayah Persekutuan berpandangan cadangan MCA ini lebih berbau kepentingan politik parti tertentu berbanding keperluan rakyat sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Azhar, Pas Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak termasuk MCA menumpukan perhatian kepada isu sebenar rakyat bandar.

Antaranya, ujar beliau, isu kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan, keselamatan awam, peluang pekerjaan serta tekanan kos sara hidup berbanding menghidupkan agenda politik lama yang tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.

“Kita menggesa kerajaan menolak sebarang usaha menghidupkan semula undi ketiga, dan sebaliknya memperkukuh mekanisme sedia ada supaya suara rakyat bandar terus didengar tanpa perlu menambah ketegangan politik yang tidak perlu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast