KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ensany Global melancarkan platform dikenali OrphanSociety yang juga merupakan platform pertama di negara ini yang membolehkan penderma dari seluruh dunia untuk menaja dan membantu anak-anak yatim di Gaza, Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamal Al Jefri berkata, sumbangan di platform digital sumbangan dana itu boleh dibuat secara langsung, telus, terus dan berterusan meliputi bantuan seperti makan minum, tempat perlindungan, pendidikan, latihan dan kemahiran kelangsungan hidup untuk para remaja dan juga sesi kaunseling trauma.
Menurut beliau, terdapat lebih 70,000 anak yatim ketika ini di Gaza namun buat permulaan, pihaknya hanya mampu membantu dan menguruskan sumbangan hanya kepada 1,000 anak yatim dahulu.
“Platform ini dibina dengan satu tujuan besar iaitu untuk memuliakan anak-anak yatim yang bukan sahaja kehilangan ibu bapa mereka tetapi juga yang hilang perlindungan, peluang dan juga memberi harapan kehidupan akibat konflik perang yang tidak berkesudahan.
“Melalui OrphanSociety, para penderma kini boleh memilih anak-anak yatim secara khusus dan peribadi serta membuat sumbangan sama ada secara bulanan, suku tahunan, tahunan ataupun sekali gus (one off).
“Ia adalah sistem yang telus, mesra pengguna dan dihubungkan terus dengan penjaga atau saudara mara atau NGO sah yang menjaga anak-anak yatim ini di Gaza, Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pelancaran platform OrphanSociety itu disempurnakan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Samad.

Mengulas lanjut, Kamal menambah, pengenalan platform itu juga membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja bersimpati tetapi bertindak dalam menyantuni nasib anak-anak yatim yang amat memerlukan perhatian semua.
Tambahnya, jarak geografi bukan penghalang untuk rakyat menyampaikan kasih sayang dan solidariti kepada anak-anak yatim di Gaza.
“Kos hidup di sana sangat tinggi kerana sukar untuk dapatkan barangan mentah. Bayangkan kos sebiji bawang berharga USD15 bersamaan RM63, telur USD5 bersamaan RM21.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik antarabangsa, NGO, penderma tetap kami dan seluruh pasukan Ensany di Malaysia, Timur Tengah dan di seluruh dunia yang bekerja keras tanpa henti dalam menjayakan misi ini.
“Akhir kata, saya menyeru kepada semua rakyat malaysia dan masyarakat antarabangsa agar jangan membiarkan anak-anak yatim di Gaza berjuang bersendirian.
“Marilah bersama kita buktikan bahawa dunia ini masih mempunyai kasih sayang, harapan dan masa depan untuk mereka,” katanya sumbangan boleh dibuat dengan melayari laman webs https://www.orphanssociety.com/– MalaysiaGazette















