Keadaan van jenazah curi yang remuk.

KULAI – Polis menahan seorang lelaki selepas melarikan van jenazah di Surau Nurul Haq di Jalan Besar Sungai Sayong, di sini, sebelum kemalangan di Lebuhraya Skudai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan mendapat tahun van jenazah berkenaan sudah dicuri pada pukul 4.30 pagi.

“AJK tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun memaklumkan dia didatangi dua anggota dari Balai Polis Bemban di sini memaklumkan satu van jenazah jenis Toyota Hiace milik surau berkenaan telah dicuri.

“Van berkenaan ditemui terlibat dalam kemalangan di lebuh raya berkenaan pada pukul 2.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota polis menghala ke tempat sebelum menangkap seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun serta merampas van jenazah berkenaan.

Menurut beliau, siasatan mendapati van berkenaan dicuri antara pukul 1 hingga 2 pagi sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.

“Mangsa cedera ringan pada muka dan kaki. Siasatan masih diteruskan berkenaan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain dalam dan luar daerah ini,” ujarnya.

Selain itu katanya, pihak polis mengesan tiga lagi rakan suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam insiden itu dan laporan dibuat pukul 8.30 pagi tadi.

“Hasil semakan rekod terhadap suspek mendapatinya mempunyai 14 rekod lampau jenayah. Kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga tujuh tahun dan juga denda,” katanya.

Beliau meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kejadian tersebut di mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Seorang lelaki cedera selepas van jenazah yang dicurinya terlibat kemalangan di Lebuhraya Skudai, Kulai hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast