Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar tiang papan tanda penunjuk arah di Kilometer 11, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pukul 7.25 pagi melibatkan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa dan seorang anaknya.

“Kemalangan dipercayai berlaku pukul 6.50 pagi apabila kereta itu dipandu mangsa yang berusia 48 tahun bersama-sama anak lelakinya berusia 20 tahun.

“Kereta berkenaan datang dari arah Taman Perling menuju Desaru telah hilang kawalan lalu melanggar papan tanda berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pemandu tersebut mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Balveer Singh menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut agar menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azalina Abdul Raof 013-2864878. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast