Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berucap pada Perhimpunan Sayap Skrikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 6 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin melahirkan rasa sedih kerana menjadi satu-satunya wakil rakyat wanita Bersatu di Parlimen.

Sehubungan itu, kata beliau, sudah tiba masanya Srikandi Bersatu mempersiapkan diri dan bersedia supaya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Srikandi Bersatu tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap dalam senarai calon atau sekadar memenuhi kuota.

“Kita mesti buktikan bahawa wanita adalah penentu kemenangan parti, penggerak jentera dan pemimpin yang mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri serta di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Perhimpuan Agung Tahunan (PAT) Srikandi Bersatu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memuji DAP yang disifatkan antara parti yang berjaya melahirkan ramai kepimpinan wanita di Parlimen.

Menurut beliau, golongan wanita di dalam DAP diberi ruang serta peluang, dan kini ahli-ahli Parlimen wanita menjadi wadah kepimpinan parti tersebut.

“Mereka memegang rekod 25 peratus ahli Parlimen wanita, ini satu pencapaian yang menakjubkan.

“Bagaimana pula kita? Saya seorang sahaja wakil Wanita Bersatu di Parlimen, amat menyedihkan,” katanya.

Tambah Mas Ermieyati, sebagai sebuah gabungan parti Melayu-Islam terbesar, Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) wajar menjadi jaguh dalam misi memertabatkan wanita dalam kumpulan pembuat dasar negara.

Sehubungan itu, katanya, satu platform untuk melatih, membimbing dan memastikan lebih ramai Srikandi Bersatu untuk diketengahkan sebagai pemimpin yang berkualiti harus direalisasikan.

“Insya-Allah, perkara tersebut telah diangkat kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

“Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa Srikandi bukan sekadar penggerak kempen.

“Srikandi kini merupakan pemimpin yang berani berjuang, berani berpacak silat di gelanggang.

Jika wanita mampu menggerakkan jentera, maka wanita juga mampu memimpin negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast